SKAS: S Pay Global Mudahkan Pembayaran Tanpa Tunai

Disiarkan pada 19 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Para penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menyifatkan transaksi menggunakan S Pay Global sangat mudah, lancar dan tidak perlu menunggu baki duit untuk dikembalikan kerana hanya perlu mengimbas kod QR sahaja.

Seramai lebih 60 peratus daripada daripada 886,288 penerima layak yang mendaftar dengan S Pay Global dapat menikmati bantuan tersebut dengan SKAS menyediakan bantuan kewangan tahunan daripada RM250 hingga RM800 untuk membantu golongan keperluan untuk membeli keperluan asas.

Tinjauan krew Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati penerima bantuan senang dengan penggunaan S Pay Globalterutamanya pembayaran tanpa tunai.

Seorang penerima SKAS, Sharkawi Hashim menyifatkan penggunaan S Pay Global lebih mudah disebabkan transaksi yang lancar.

Ujarnya, bantuan ini dapat membantu menambah barangan bagi perniagaannya serta barangan keperluan di rumah.

“SKAS ini bagus, kalau boleh tiap-tiap tahun dilaksanakan sebab boleh saya menambah stok barang untuk meniaga. Bantuan ini boleh beli pelbagai barang-barang dapur di pelbagai lokasi kedai.

“Tunai dan S Pay Global saya guna dua-dua tapi S Pay Global ini lebih senang sebab transaksi lancar sebab tidak perlu tunggu untuk duit dikembalikan, hanya imbas sahaja,” ujarnya.

Nurain Syurawi, juga penerima bantuan memberitahu, senang menggunakan S Pay Global untuk membeli barangan dapur dan keperluan harian mahupun bulanan terutamanya SKAS yang disalurkan ditengah bulan sementara menunggu gaji.

“Tidak lama lagi hendak raya, kita beli barang puasa dan raya. Selepas itu, kita beli barang keperluan rumah juga.

“Penggunaan S Pay Global ini memang senang, tidak perlu menyusahkan diri untuk mengeluarkan tunai di bank, baguslah juga penggunaan S Pay Global ini, hanya perlu gunakan telefon bimbit sahaja,” ujarnya.

Nur Wahida Amalin turut senada di mana penggunaan S Pay Global tidak perlu membawa tunai untuk membeli barang.

Ujarnya, SKAS ini sedikit sebanyak membantu menambah barangan dapur dan barangan keperluan asas yang lain.

“SKAS ini memudahkan beli dan menambah barang dapur serta beli barangan keperluan lain lah.

“Penggunaan S Pay Global ini baik sahaja, kalau kita nak keluar rumah tidak perlu nak membawa wang tunai, hanya bawa telefon bimbit dan buka S Pay Global sahaja dan penjual akan imbas untuk kita,” katanya.-EDISI UKAS