KUCHING: OCI Holdings, sebuah syarikat tenaga dan kimia yang berpangkalan di Korea Selatan, komited untuk melibatkan tenaga pakar tempatan dalam pengurusan kilang pembuatan polisilikon di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Pengerusinya, Lee Woo Hyun berkata, langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi kilang tersebut, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab utama dalam rantaian bekalan global bagi bahan semikonduktor.
Tambahnya, usaha ini juga selaras dengan matlamat membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri semikonduktor di peringkat global.
"Kami akan bekerjasama rapat dengah kepakaran tempatan untuk mendapatkan sokongan teknikal dan menyediakan latihan intensif kepada pekerja, terutama jurutera dan saintis.
"Di sini saya ingin menekankan bahawa kami memerlukan bakat-bakat yang berkualiti dan berkemahiran tinggi seramai mungkin untuk dilatih, kerana proses ini akan mengambil masa untuk mereka membiasakan diri dan mencapai tahap kecemerlangan yang diinginkan,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad l, Datuk Sharbini Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif OCI Malaysia Sdn Bhd (OCIM), Dato’ Dr. Anas Alam Faizli.
Menurut Lee, kunjungan tersebut bertujuan untuk memohon sokongan dasar daripada Datuk Patinggi Abang Zohari, khususnya dalam usaha memperkukuh kerjasama antara OCI Holdings dan kerajaan Sarawak.
"Ini merupakan kali pertama syarikat Korea (OCI Holdings) dan Jepun (Tokuyama Corporation) berganding bahu membangunkan kilang polisilikon di Malaysia, khususnya Sarawak.
"Pencapaian ini amat bermakna, dan Premier Sarawak telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sejak kami tiba di Sarawak lapan tahun lalu. Beliau turut berjanji akan memberikan sokongan berterusan bagi memastikan pelaburan ini berjaya dan memberi manfaat besar kepada ekonomi Sarawak," jelasnya lanjut.
Kilang polisilikon di Samalaju pada asalnya dimiliki oleh Tokuyama Corporation sebelum diambil alih sepenuhnya oleh OCI Holdings pada 2017.
Sejak itu, OCI Holdings telah melabur secara signifikan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran polisilikon di kilang tersebut.
OCI Holdings yang terkenal dengan kepakarannya dalam silikon polihabluran, hidrogen peroksida, dan bahan kimia lain telah mengesahkan komitmennya untuk terus mengembangkan pengeluaran di Sarawak dalam polisilikon untuk kegunaan fotovoltaik, dan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tokuyama Corporation untuk membina kilang polisilikon gred semikonduktor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 11,000 tan metrik di Taman Perindustrian Samalaju. -EDISI UKAS