Yang di-Pertua Negeri Sarawak Hadiri Majlis Jamuan Negeri Sempena Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia Ke-58

Disiarkan pada 16 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir menyerikan Majlis Jamuan Negeri sempena Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia Kali Ke-58.

Majlis penuh tradisi itu berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Ahad.

Turut hadir bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof bersama isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.

Hadir sama ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Dato’ Zamani Ibrahim, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.

Untuk rekod, berdasarkan subseksyen 17A(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Mesyuarat ini menghimpunkan semua Hakim Mahkamah Atasan dari seluruh negara, termasuk Yang Amat Arif (YAA) Ketua Hakim Negara, YAA Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Hakim Besar Malaya, YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman.

Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi para hakim membincangkan isu-isu semasa berkaitan Badan Kehakiman dan memperkukuhkan sistem perundangan negara.

Untuk tahun 2025, seramai 137 orang Hakim Mahkamah Atasan menghadiri Mesyuarat Majlis Hakim-Hakim Malaysia Kali Ke-58 yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuching dari 14 hingga 17 Februari 2025.-EDISI UKAS