KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak komited untuk terus memperkukuhkan hala tuju politik bagi menghadapi perubahan landskap ekonomi dan teknologi global hari ini.
Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, usaha ini termasuklah membuka sayap baharu iaitu Sayap Belia yang mana pada kali ini julung kali menyertai Perhimpunan Agung Parti PBB Sarawak sebagai pemerhati.
Menurut beliau, langkah ini penting untuk memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai langkah seterusnya dan matlamat parti keramat ini.
“Mereka (pemimpin terdahulu) telah memberikan hala tuju untuk Parti PBB Sarawak menggembleng tenaga antara pemimpin lama dan baharu dalam perjuangan parti ini,” ujar beliau dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Menurut beliau, kepimpinan Parti PBB Sarawak termasuk wilayah ini sendiri telah melalui pelbagai fasa sejak era kepimpinan Tun Jugah dan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kemudiannya diteruskan oleh Pehin Sri Adenan Satem yang sudah mencetuskan gerakan untuk mendapatkan semula hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Walaupun tempoh kepimpinan arwah Tan Sri Adenan singkat, namun beliau telah mencetuskan kesedaran untuk mendapatkan hak Sarawak di bawah MA63.
“Beliau telah meninggalkan pendekatan beliau yang kini saya teruskan dan kita telah berjaya mendapatkan semula beberapa kuasa dan hak yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Malaysia melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan,” ujar beliau lagi.
Menyentuh mengenai kestabilan politik, beliau memberitahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan yang penting dalam meredakan ketidakstabilan politik di peringkat Persekutuan.
“Sejak 2018, kita mempunyai kerajaan pusat yang bertukar ganti dengan lantikan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dan kini Dato Seri Anwar Ibrahim.
“Di sini, GPS dan Parti PBB Sarawak telah membantu meredakan politik ketika itu dan akhirnya Malaysia mempunyai keadaan kerajaan yang agak stabil dan terus memainkan peranan dan amanah tang diberikan rakyat,” kata beliau lagi.
Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak serta kenamaan yang lain. -EDISI UKAS