BBP Anjur Program Pasukan Bomba Komuniti dan Celik Suri, Tingkat Aspek Keselamatan

Disiarkan pada 15 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah menganjurkan Program Ringkas Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti dan Celik Suri Kediaman bagi penduduk Rh Panjang Nyalak Atas, Pakan.

Program diadakan pada Jumaat ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan kebakaran serta memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah pencegahan dan pengendalian insiden kebakaran di kediaman masing-masing.

Seramai 12 peserta menyertai sesi Bomba Komuniti, manakala 9 peserta terdiri daripada golongan wanita mengikuti sesi Celik Suri.

Antara pengisian program termasuk ceramah keselamatan kebakaran, penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), pengenalan kepada media pemadaman dan penggunaan alat pemadam api, serta latihan pemadaman kebakaran dapur.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada teknik asas rawatan awal dan CPR bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi sebarang kecemasan.

BBP Bintangor berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang bagi memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran serta memperkukuh peranan komuniti dalam aspek keselamatan.-EDISI UKAS