KUCHING: Raja Perempuan Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Anis Ibni Almarhum Tengku Abdul Hamid berkenan mencemar duli ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) sempena keberangkatan lawatan rasminya di Sarawak pada Jumaat.
Mengiringi Tengku Anis, Adinda-Adinda Raja Perempuan Kelantan Tengku Kesoma Mastika Tengku Anisah Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aniza Ibni Almarhum Tengku Abdul Hamid, Pengerusi Persatuan Wanita Sarawak (WANISA) Datin Ayu Kartini Abdullah, Penasihat WANISA Toh Puan Hayati Ahmat serta dif-dif kenamaan yang lain.
Keberangkatan tiba Tengku Anis telah disambut dengan persembahan tarian oleh penari-penari SCV sebelum bergerak masuk untuk memulakan lawatannya.
Tengku Anis telah berkesempatan menjejak kaki ke 'panggah' kaum Bidayuh bagi menyaksikan tarian kaum tersebut dan seterusnya bergerak ke rumah kaum Iban di mana turut menyaksikan persembahan yang dilakukan di sana.
Seterusnya, Tengku Anis telah melawat di sekitar SCV bagi melihat rumah-rumah kaum yang ada di sana sebelum bergerak masuk ke Dewan Teater bagi menyaksikan persembahan kebudayaan yang pelbagai di Sarawak.
Lawatan rasmi Tengku Anis selama lima di hari Sarawak telah bermula pada semalam dan akan diteruskan sehingga Isnin ini.
Keesokan hari, Raja Perempuan Kelantan bersama rombongan bakal mencemar duli ke Juma'ani Pavilion pada sebelah petang manakala pada waktu malam bakal mencemar duli untuk menghadiri Makan Malam Amal WANISA di Sheraton Hotel.
Pada Ahad, Tengku Anis akan mencemar duli ke kedai Kek Lapis Warisan di Satok pada sebelah pagi dan akan mencemar duli untuk menaiki Sarawak River Cruise untuk bersiar-siar di Tebingan Kuching.
Tengku Abis dijangka berangkat pulang ke Ibu Kota pada tengahari Isnin. -EDISI UKAS