Kemalangan Jalan Raya Menurun di Sarawak Sepanjang Op Selamat 23

Disiarkan pada 03 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mencatat kejayaan dalam pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Tahun Baru Cina 2025 dengan penurunan ketara kes kemalangan dan kematian jalan raya.

Menurut kenyataan media PDRM Kontinjen Sarawak pada Isnin, sepanjang enam hari operasi yang bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari, sebanyak 283 kes kemalangan direkodkan, menunjukkan penurunan 17.3 peratus berbanding 342 kes pada Op Selamat, tahun lalu.

Lebih menggembirakan, jumlah kemalangan maut juga berkurang drastik daripada tujuh kes kepada tiga kes, bersamaan dengan penurunan 57.1 peratus.

Jumlah kematian turut mencatatkan angka yang sama, menurun empat kes berbanding tahun sebelumnya.

Dalam usaha mengekang pelanggaran undang-undang jalan raya, PDRM Sarawak telah mengeluarkan 3,804 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Pendekatan Total Enforcement dan penguatkuasaan bersasar telah dilaksanakan bagi membendung kesalahan berbahaya, selain memastikan kelancaran trafik.

Walaupun statistik menunjukkan peningkatan kesedaran dan kepatuhan dalam kalangan pengguna jalan raya, pihak berkuasa menegaskan bahawa usaha mengurangkan kemalangan akan terus dipergiat.

“Penurunan ini adalah hasil usaha kolektif PDRM dan pengguna jalan raya yang semakin cakna akan keselamatan di jalan raya.

“Namun, kita tidak boleh leka. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” kata kenyataan itu.-EDISI UKAS