Premier Sarawak Serta Isteri Teruskan Kunjungan TBC 2025

Disiarkan pada 29 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kunjungan sempena Tahun Baru Cina 2025.

Beliau telah mengunjung ke rumah kediaman Pengerusi Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) merangkap Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam di kediamannya di Fairway Villa, Petra Jaya pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, CEO SAINS Busiai Seman dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping.

Beliau tiba di kediaman rumah Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu sekitar pukul 4 petang dan disambut mesra oleh Datuk Patinggi George Chan dan keluarganya.

Premier Sarawak serta dif-dif kenamaan telah disajikan dengan persembahan-persembahan daripada penari-penari Kampung Budaya Sarawak dan seterusnya menggaul 'Yee Sang' sebelum bergerak masuk untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak keluarga Datuk Patinggi George Chan.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah berkunjung ke rumah kediaman CEO dan Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato Dr. Au Yong Kien Hoe di Jalan Tun Abang Haji Openg.

Beliau juga telah berkunjung ke rumah kediaman Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI), Dato Tan Jit Kee di Jalan Ong Tiang Swee.

Mengiringi beliau di kedua-dua kediaman, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Hasan serta Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. -EDISI UKAS