Program Pendidikan Kesihatan Perlu Diutamakan

Disiarkan pada 23 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Pelaksanaan program pendidikan kesihatan yang menyeluruh perlu diberi keutamaan untuk memupuk amalan penjagaan diri berlandaskan pencegahan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif seumpamanya bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat, malah mengurangkan beban sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

"Ada dalam kalangan masyarakat yang kurang faham dan tidak peka dengan ilmu kesihatan, malah ada juga di antara mereka yang tidak pernah menjalani saringan ujian kesihatan.

"Oleh itu, aktiviti komuniti outreach seperti ceramah kesihatan dan pemeriksaan kesihatan percuma adalah langkah proaktif untuk mempertingkat kesedaran masyarakat terhadap tahap kesihatan mereka,"katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Dan Apresiasi Klinik Kesihatan Tudan 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Rabu.

Dalam ucapan sama, Dato Sri Lee juga menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi petugas-petugas Klinik Kesihatan Tudan yang tabah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk melayani jumlah pesakit yang semakin meningkat, sehingga mencapai 900 hingga 1,000 orang sehari.

Turut hadir di majlis itu ialah Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tudan Dr Benjamin Teh Wee Chuan, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tudan Deammy Sim Ya Szi serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tudan.-EDISI UKAS