Projek Naik Taraf Jalan Triso-Maludam Bukti Komitmen Pembangunan Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 23 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


LINGGA: Projek menaik taraf dan menambahbaik jalan sepanjang 11.82 kilometer dari Kampung Triso ke Maludam menjadi bukti jelas usaha strategik kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan yang inklusif dan mampan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, jalan tersebut akan dinaik taraf mengikut standard JKR R3, menjadikan ia mampu menampung peningkatan trafik yang dijangka berlaku setelah siapnya Jambatan Batang Lupar 1 dan Jambatan Batang Saribas.

“Naiktaraf ini juga akan memperbaiki kualiti jalan, menjadikannya lebih selamat dan mesra pengguna.

“Projek ini adalah sebahagian daripada program Second Trunk Road yang bertujuan untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan rangkaian jalan utama di negeri ini.

“Jalan ini akan menjadi penghubung strategik antara Sebuyau, Triso, Maludam, Pusa dan kawasan sekitarnya sekali gus memberikan manfaat besar kepada komuniti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Bagi Pakej A3, Jalan Pesisir Pantai Dari Kampung Triso Ke Maludam, Pusa di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar memenuhi keperluan infrastruktur, tetapi mampu memacu pembangunan ekonomi di kawasan Triso dan Maludam.

“Ia dijangka meningkatkan peluang perdagangan, pendapatan masyarakat setempat, dan memudahkan aksesibiliti bagi penduduk luar bandar.

“Inisiatif ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak untuk membawa pembangunan yang holistik dan inklusif, selaras dengan keperluan rakyat dan visi jangka panjang negeri ini,” tambah beliau.

Hadir sama ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohammad Shafizan Kepli, Timbalan Residen Bahagian Betong Hamdan Katang serta tetamu lain.-EDISI UKAS