Sarawak Fokus Ekonomi Baharu, Belia Jadi Penggerak Utama

Disiarkan pada 19 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas kejayaan dan menyeru generasi muda untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak kini giat beralih ke arah ekonomi baharu seperti penyimpanan karbon dan ekonomi hidrogen, selain meneruskan transformasi digital yang telah dimulakan beberapa tahun lalu.

“Transformasi ini bukan sahaja memudahkan kehidupan kita, tetapi turut menekankan pembangunan lestari untuk memastikan generasi masa hadapan dapat menikmati manfaatnya.

“Semua ini memerlukan tenaga kerja mahir dan di sinilah pentingnya peranan belia,” katanya semasa berucap dalam Majlis Graduasi Tingkatan 6 & Anugerah Pencapaian Cemerlang SMK St Augustine Betong Sesi 2024/2025 di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dato Gerald menegaskan bahawa generasi muda, khususnya pelajar yang sedang menuntut di sekolah adalah penggerak utama ekonomi baharu Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut menyeru ibu bapa agar mempersiapkan anak-anak mereka untuk masa depan dengan menabung sejak awal terutamanya bagi menyokong pendidikan tinggi.

“Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan insentif sebanyak RM1,200 setahun untuk pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi (IPT). Pendidikan adalah tangga kejayaan dan dengan cita-cita yang tinggi serta usaha gigih, tiada yang mustahil,” tambahnya.

Terdahulu, Dato Gerald telah mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM30,000 kepada PIBG SMK St Augustine Betong sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan di sekolah itu.

Majlis tersebut turut menyaksikan penganugerahan tertinggi sekolah, iaitu Anugerah Idola SEMESTA Sesi 2024/2025 telah disampaikan kepada Sylvia Imok Sigan sebagai pengiktirafan atas kecemerlangannya.

Turut hadir adalah Pengetua SMK St Augustine Betong merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ujai Sambau, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh serta tetamu lain.-EDISI UKAS