KUCHING: Sarawak melangkah ke hadapan lagi dalam pembangunan sukan dengan cadangan memperkenalkan kursus berasaskan sukan di universiti miliknya.
Inisiatif ini bertujuan melahirkan atlet muda berkualiti tinggi, memperkasa prestasi mereka dari peringkat sekolah sehingga ke universiti, serta membuka peluang kepada pembangunan sukan bertaraf antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, atlet muda yang berminat untuk meningkatkan prestasi kesukanan mereka mahupun kepada yang menceburi bidang sukan boleh menyertai kursus untuk pembangunan kendiri.
"Kita boleh wujudkan di Universiti Kolej i-Cats ataupun di Univerisit Swinburne.
"Universiti Swinburne ini sesuai dilaksanakan kerana pelajar mereka datang daripada pelbagai negara di mana terdapat dari segi percampuran pelajar serta pertukaran budaya dan sukan antara sekolah antarabangsa.
"Universiti Curtin juga boleh dilaksanakan untuk mewujudkan kursus berasaskan sukan," katanya ketika dalam sidang media selepas pelancaran pertandingan Piala Dunia T20 Wanita Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) Bawah 19 untuk di Sarawak dan perasmian Borneo Cricket Ground, Petra Jaya pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak juga dalam perbincangan bersama Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kursus berasaskan sukan di peringkat sekolah menengah.
Jelasnya, atlet mestilah dipupuk dari awal dalam memastikan potensi mereka terus dapat digilapkan lagi sebelum bergerak ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kami sebenarnya telah berbincang bersama Kementerian Pendidikan sebab para atlet perlu bermula daripada sekolah menengah melalui sekolah sukan.
"Sebaik sahaja kita melatih mereka dari usia muda sehingga mereka mencapai minat mereka, sama ada mereka ingin melanjutkan ke peringkat universiti, kerana terdapat juga kursus disiplin sukan di universiti," jelasnya.
Ujarnya, Sarawak memiliki banyak atlet walaupun negeri ini masih lagi kekurangan fasiliti sukan namun potensi para atlet seperti Pandelela Rinong adalah suatu harapan untuk sukan di Bumi Kenyalang.
Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Penaung Persatuan Kriket Malaysia Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar serta dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS