Kestabilan Politik Berjaya menyatupadukan rakyat Di Sarawak

Disiarkan pada 13 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kestabilan politik berjaya menyatupadukan rakyat, khasnya di Sarawak yang berbilang kaum, bangsa dan agama serta menyumbang terhadap kejayaan Sarawak hari ini.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, kestabilan Sarawak bermula dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SUPP serta disokong oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

"Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari Tun Openg telah menyatakan ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) kami bulan lalu bahawa SUPP adalah rakan kongsi yang setia.

“Ini lebih mengukuhkan lagi kerjasama parti dalam menyatupadukan rakyat seterusnya mencipta pelbagai kejayaan Sarawak seperti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah SUPP Cawangan Bawang Assan yang terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Jawatankuasanya bagi Sesi 2025-2027 yang juga Sambutan Tahun Baharu 2024 di Kingwood Hotel Sibu pada Ahad.

Datuk Amar Dr. Sim turut mengimbau nasib SUPP pada 2014 yang hampir lumpuh disebabkan kemelut dalaman partinya yang wajar menjadi pengajaran kepada semua ahli parti.

“SUPP sekarang kalau dibandingkan SUPP 2014, adalah jauh berbeza. Lihatlah SUPP sekarang. Disebabkan kesetiaan anda, SUPP masih ‘hidup’ hingga ke hari ini, malah lebih kukuh lagi berbanding 10 tahun lalu,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau telah mengetuai jawatankuasanya mengangkat sumpah pada majlis tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau, Setiausaha Politik Premier Sarawak Kho Teck Wan serta yang lain.-EDISI UKAS