Biasiswa Dan Pinjaman Pendidikan Yayasan Sarawak Terbuka Kepada Semua Pelajar Cemerlang Sarawak

Disiarkan pada 13 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Biasiswa dan pinjaman pendidikan yang disediakan oleh Yayasan Sarawak tidak terhad kepada pelajar bumiputera sahaja, tetapi terbuka kepada semua pelajar Sarawak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan.

Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Datuk Richard Wee Liang Kiat menjelaskan bahawa tanggapan bahawa bantuan ini hanya untuk Bumiputera perlu diubah supaya setiap pelajar yang memenuhi syarat dapat mendapat manfaat.

“Saya ingin menegaskan bahawa semua biasiswa dan pinjaman pelajar akan disalurkan berdasarkan pencapaian akademik yang diperoleh.

“Tanpa mengira latar belakang, yang penting adalah pencapaian akademik. Bantuan ini untuk seluruh rakyat Sarawak, tidak kira siapa anda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus Yayasan Sarawak dengan Sekolah Persendirian Cina di Bahagian Kuching, Kota Samarahan dan Serian yang berlangsung di Auditorium Wisma Adenan, Yayasan Sarawak, pada Isnin.

Beliau juga menambah bahawa adalah penting bagi ibu bapa, guru dan pelajar untuk lebih memahami butiran mengenai bantuan kewangan yang tersedia.

“Oleh itu, sesi ini adalah salah satu cara untuk menyampaikan maklumat kepada semua pelajar dan ibu bapa bahawa bantuan ini terbuka kepada semua rakyat Sarawak selagi memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Datuk Richard Wee turut mengumumkan bahawa sesi serupa akan diadakan di kawasan lain seperti Sibu dan Miri untuk memberi pengetahuan lanjut mengenai bantuan Yayasan Sarawak.

“Kami akan melanjutkan usaha ini ke sekolah-sekolah Cina di kawasan tersebut untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang program bantuan yang disediakan oleh Yayasan Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mersal Abang Rosli berkata bahawa sesi libat urus ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman awam mengenai peranan Yayasan Sarawak.

Dalam teks yang dibaca oleh Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leornard, beliau menjelaskan bahawa pihak mereka sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan kewangan khususnya untuk anak-anak tempatan.

“Kami berharap semua yang hadir pada hari ini dapat berkongsi maklumat ini dengan ibu bapa dan pelajar, supaya mereka dapat membuat keputusan terbaik untuk masa depan mereka,” ujarnya. - EDISI UKAS