Kerajaan Sarawak Rangka Inisiatif Perkasa SJKC Luar Bandar

Disiarkan pada 12 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS



MERADONG: Kerajaan Sarawak sedang merangka inisiatif untuk memperkasa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan luar bandar, terutama yang mempunyai majoriti pelajar Bumiputera.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, inisiatif ini bertujuan menggalakkan perpaduan antara komuniti Cina dan Bumiputera di Sarawak melalui pendidikan, serta memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang sama untuk memperoleh pendidikan berkualiti.

"Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian kini dalam perancangan untuk membantu SJKC di luar bandar, yang mana Daerah Meradong bakal menjadi lokasi pertama bagi memulakan inisiatif berkenaan.

"Oleh itu, kita berharap dapat melihat kesan positif dan pelaksanaan yang lebih lancar sebelum meluaskannya ke kawasan-kawasan luar bandar yang lain," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Graduasi SJKC Ming Chiang 2024, baru-baru ini.

Dalam ucapan sama, Datuk Ding turut memuji tahap komitmen dan dedikasi warga pendidik SJKC Ming Chiang yang berusaha keras memberikan pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar mereka, setara dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar yang sering dianggap mempunyai lebih banyak sumber dan kemudahan.

Tambahnya, ini jelas membuktikan bahawa kualiti pengajaran tidak bergantung pada lokasi, tetapi pada semangat dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh pendidik.

Di samping itu, beliau juga mengumumkan penyaluran geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada SJKC Ming Chiang sebagai sokongan tambahan kepada sekolah tersebut.

Seramai 13 pelajar darjah enam di SJKC Ming Chiang telah diiktiraf dan diraikan dalam majlis tersebut sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka menamatkan pengajian di peringkat sekolah rendah dan bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.-EDISI UKAS