MIRI: Projek Sumbangan EcoBrick Terbesar Dalam 24 Jam yang akan diadakan di Miri menyasarkan untuk melakar nama dalam Guinness World Record.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek ini merupakan inisiatif unik yang melibatkan seluruh komuniti, termasuk pelajar, guru, ibu bapa, dan pihak sekolah SJKC Chung Hua Tudan.
“Projek ini bertujuan mengurangkan pencemaran plastik, meningkatkan kadar kitar semula, dan mengurangkan penggunaan ruang tapak pelupusan.
“Selain itu, pelan untuk membina ‘Tembok Hijau Miri’ mampu memberi kesan jangka panjang kepada kesedaran alam sekitar dan menarik pelancong ke Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pada Khamis.
Percubaan rasmi Guinness World Record ini dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Januari ini.
Ketika ini, Pengerusi Persatuan Peniaga Barang Terpakai dan Kitar Semula Miri, Bryan Chia Sak Chan dan pasukannya telah bekerja keras selama beberapa tahun untuk memastikan kejayaan percubaan ini.
Dato Sri Lee juga berharap agar projek ini dapat mengukuhkan status Miri sebagai bandar hijau yang mempunyai tiga pengiktirafan antarabangsa termasuk dua pengiktirafan UNESCO dan satu rekod Guinness.
“Projek ini bukan sahaja akan mempromosikan konsep hijau kepada komuniti, tetapi juga berpotensi menarik pelancong asing dalam jangka masa panjang.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk membangunkan EcoPark menggunakan bahan kitar semula, yang boleh menjadi ikon pendidikan alam sekitar dan projek mampan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” ujarnya.
Hadir sama Pro Vice Chancellor Curtin, Professor Simon Leunig dan Bryan Chia.-EDISI UKAS