PULAU BRUIT: Jambatan Batang Lassa kini menjadi nadi pengangkutan utama penduduk di sekitar daerah Daro dan Pulau Bruit, untuk menyeberangi Sungai Batang Lassa.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, penduduk setempat kini dapat merasai manfaat besar daripada kemudahan ini, yang tidak hanya mempercepatkan perjalanan, malah membuka peluang ekonomi yang lebih luas.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua wakil-wakil rakyat terutama di kawasan pesisir yang telah memperjuangkan pembinaan jambatan dan jalan raya untuk menghubungkan kawasan pesisir, hingga ke kawasan lain, sejak 2014 lagi.
"Inilah buktinya, permintaan dan perjuangan wakil rakyat hampir 10 tahun yang lalu, kini menjadi kenyataan,"katanya ketika ditemubual media di Majlis Pra-Pelancaran Jambatan Muara Lassa, Daro, di sini pada Khamis.
Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan majlis tersebut.
Bagaimanapun, Datuk Aidel memberitahu, dengan siapnya Jambatan Batang Lassa ini, perkhidmatan Feri Muara Lassa pula secara rasminya dihentikan, setelah beroperasi selama beberapa dekad.
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya perkhidmatan feri tersebut masih perlu digunakan di kawasan lain, khususnya di laluan Batang Paloh dan Batang Igan yang berpotensi mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak.
"Jumlah aliran trafik dijangka akan tertumpu di kedua-dua laluan feri tersebut (Batang Paloh dan Batang Igan).
"Sehubungan itu, saya menyeru pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mempertimbangkan penambahan bilangan feri di Batang Paloh dan Batang Igan bagi menampung permintaan pengangkutan yang semakin meningkat.
"Kedua-dua jambatan tersebut juga kini sedang dalam pembinaan dan akan siap tidak
lama lagi,"tambah beliau.
Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab, ADUN Daro Safiee Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak IR TS GS BR PMR Dr Cassidy Morris, Resideng Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh serta Jurutera Bahagian JKR Mukah Abdul Talib Jarni.-EDISI UKAS