Dato' Idris Buang Ketua Cawangan PBB Muara Tuang

Disiarkan pada 30 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang dilantik sebagai Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Muara Tuang bagi penggal 2024 hingga 2027.

Pelantikan ini diputuskan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PBB Muara Tuang yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Beemee Awang Ali Basah di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Ahad.

Mesyuarat sama menyaksikan pemilihan Seraai Sajili sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Muara Tuang, Amin Mangi sebagai Naib Ketua, Rozni Piee sebagai Ketua Pergerakan Wanita, Mohamad Azri Johari sebagai Ketua Pergerakan Pemuda, termasuk 18 ahli jawatankuasa (AJK) baru.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang serta perwakilan dari 47 Ranting Cawangan PBB DUN Muara Tuang.-EDISI UKAS