KUCHING: Kawasan Satok bakal miliki hab inovasi digital dalam menyediakan tempat untuk para belia yang berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki berkata, kos pembinaan mencecah RM2.6 juta yang akan menyediakan kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik seminar, pejabat kecil untuk dikongsi, dan ratusan 'pigeon box'.
"Bagi belia yang mahu memulakan perniagaan, tidak semua mampu menyewa pejabat yang boleh mencecah ribuan ringgit sebulan ditambah kini dengan ekonomi digital di mana anda boleh bekerja dari rumah.
Tetapi, kadang-kadang anda perlu berjumpa pelanggan atau rakan perniagaan di tempat yang sesuai maka tempat ini disediakan bilik mesyuarat untuk mereka bertemu pelanggan, rakan kongsi perniagaan, dan menjalinkan rangkaian perniagaan di samping menggunakan alamat itu sebagai alamat rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok Sesi 2024-2027 di sini pada Sabtu.
Ujarnya, pembinaan yang akan dilaksanakan di belakang Pusat Khidmat N8 Satok akan bermula pada awal tahun depan dengan pelaksanaan mengambil masa kira-kira 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Dato Ibrahim Baki turut memberitahu perkembangan Perumahan Segedup 2025/2026 dengan penambakan tanah hampir siap termasuk kerja-kerja tanah dan saliran yang kini masih berjalan
"Kerja-kerja jalan dalaman untuk infrastruktur juga hampir siap. Jadi, mungkin tahun depan mereka akan mula kerja infrastruktur, termasuk kerja cerucuk.
"Kerja cerucuk bermaksud pembinaan bangunan. Jadi, diharap tahun depan kerja infrastruktur dapat dimulakan. Projek ini mungkin mengambil masa hingga 2026 sebelum kita dapat melihat struktur," ujarnya.
Tambahnya, fasa pertama akan membangunkan sebanyak 271 unit manakala fasa kedua akan membangunkan tambahan kira-kira 200 hingga 250 unit lagi dengan jumlah keseluruhan unit yang akan dibangunkan adalah sebanyak 500 unit. -EDISI UKAS