Limbang Laksana 14 Program Menarik Sepanjang 2025

Disiarkan pada 16 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


LIMBANG: Sebanyak 14 program menarik telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang 2025 bagi memajukan daerah ini sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan merangsang pembangunan ekonomi tempatan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program-program tersebut dijangka menarik kehadiran seramai 150,000 hingga 200,000 pengunjung sepanjang tahun.

Menurut beliau, antara sektor yang dijangka menerima manfaat terbesar adalah termasuk perniagaan makanan, minuman, kraftangan dan penginapan yang mana peniaga tempatan berpeluang memasarkan produk mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Kita boleh lihat sendiri impaknya kepada para usahawan kita yang sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dari kawasan sekitar seperti Miri dan Lawas, termasuk pelancong dari luar negara khususnya Brunei.

"Kedudukan Limbang ini unik sebab kita berada di tengah-tengah Brunei, jadi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menghidupkan sosio ekonomi tempatan dan menyumbang kepada kemasukan pelancong ke Sarawak.

"Dulu orang berpandangan apabila Jambatan Brunei siap, Limbang akan di 'bypass', tetapi sebenarnya tidak sebab Limbang ini mempunyai tarikan tertentu untuk dikunjungi," katanya.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Kota berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Hari Belia dan Limbang Motor Day 2.0 anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota di Lapangan Rekreasi Limbang pada Ahad.

Hadir sama ialah Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Naib Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, wakil Residen Bahagian Limbang Awgku Mohd. Shahrizan Mainizan Awgku Maidin, wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit, wakil Ketua Bomba Zon 7 Limbang Zaki Hussin, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Ustaz Yusairy Yahya serta Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Belia dan Limbang Motor Day 2.0 Ronny Jumat.

Sepanjang tiga hari penganjuran, program yang turut menerima dana Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak ini berjaya mencatatkan jumlah pengunjung yang mengagumkan, sekali gus menonjolkan Limbang sebagai destinasi pelancongan yang semakin dikenali di Sarawak.

Acara-acara utama yang menarik perhatian pengunjung adalah Bike Show, Pertandingan Bintang Kecil, Miss Belia, Tamia Fun Race, Pertandingan Dart, E-Sport, Street Soccer dan Pertandingan Kucing.

Selain itu, Anugerah Ikon Belia 2024 juga diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada individu belia yang telah memberi sumbangan kepada komuniti.

Program ini turut menyediakan ruang untuk belia mendaftar sebagai ahli SABERKAS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sosial dan politik. -EDISI UKAS