Raih Dua Rekod Dunia Di Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024

Disiarkan pada 13 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 mencipta sejarah tersendiri dengan dua rekod dunia Elite World Record.

Kejayaan itu dilakar menerusi arca sape terbesar dunia sepanjang 12.19 meter, dihasilkan daripada logam kitar semula.

Malah lebih manis dengan kejayaan berganda menerusi persembahan muzik dan tarian tradisional Orang Ulu terbesar, melibatkan 22 suku kaum.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, memuji usaha ini sebagai bukti Sarawak menghargai warisan budaya sambil menonjolkannya di pentas global.

"Kepelbagaian etnik khususnya di Belaga, adalah lambang keindahan perpaduan di Sarawak yang harmoni, maju dan makmur sejajar dengan semangat 'Sejulai Sejalai'.

"Justeru, saya menyeru seluruh rakyat di wilayah ini untuk terus mengukuhkan budaya perpaduan dan kerjasama, kerana ia adalah kunci kepada masa depan yang lebih cemerlang, baik untuk kita hari ini mahupun untuk generasi yang akan datang," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu mewakili Premier Sarawak menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024, di Sungai Asap baru-baru ini.

Terdahulu, ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon, menyatakan Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 bertujuan memelihara seni dan budaya pelbagai etnik Orang Ulu dan komuniti lain di Sarawak.

Beliau berterima kasih kepada Sarawak Energy Berhad atas sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM300,000 dan menghargai usaha artisan Mohamad Kasat Bujang Narawi dalam mencipta arca sape terbesar dunia, simbol kreativiti dan penghormatan terhadap seni serta alam sekitar.

"Sape ini adalah simbol perpaduan dan keharmonian Sarawak, yang mana alunan muziknya telah mengikat kemesraan, merapatkan hubungan antara kita di wilayah ini, seluruh Malaysia, dan kini menjangkau ke serata dunia,"tambahnya lagi.

Turut hadir di majlis perasmian itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, wakil Elite World Rekod Mathew Lau, Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Umek Jeno, Pemanca Tony Kulleh dan Pemanca Unak Akah.-EDISI UKAS