Isu Pengagihan Gas Antara PETRONAS & PETROS Selesai: PM

Posted on 13 Dec 2024
Source of News: UKAS


KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) telah selesai dan pada masa ini kerajaan sedang memperhalusi butiran, parameter dan implikasi daripada langkah berkenaan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari mengenai perkara itu dan telah mencapai keputusan yang jelas.

"Perbincangan telah selesai, tetapi kami sedang meneliti butiran, parameter dan implikasi undang-undang mengenainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Datuk Patinggi Abang Zohari dipetik sebagai berkata perincian formula berkaitan penyelesaian isu pengagihan gas akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

"Saya minta Perdana Menteri yang mengumumkan perincian formula penyelesaian itu. Tunggu sahajalah," kata Datuk Patinggi Abang Zohari selepas menghadiri Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East Asean Growth Area (BIMP-EAGA) Ke-4.

Menerusi satu wawancara dengan sebuah stesen television tempatan sebelum ini,  Datuk Patinggi Abang Zohari dipetik berkata isu pengagihan gas itu sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar yang akan dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak berkata isu pengagihan gas itu hanya melibatkan sudut perundangan yang mana Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang dirujuk Petronas dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang dikuatkuasakan oleh Sarawak dapat wujud bersama-sama.-BERNAMA