Pindaan Ordinan Buruh Sarawak Bukti Usaha Kerajaan Seragam Hak & Perlindungan Pekerja

Disiarkan pada 12 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


PUTRAJAYA: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat membuktikan usaha kerajaan dalam menyeragamkan hak dan perlindungan seramai 1.4 juta pekerja di Sarawak dengan pekerja di Semenanjung Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Zaidi Nasar menjelaskan bahawa pindaan ini adalah selari dengan perundangan Akta Kerja 1955 dan juga piawaian antarabangsa.

 

“Setelah hampir 20 tahun menantikan pindaan Ordinan Buruh Sarawak, pada 12 Disember 2024, bacaan Rang Undang Undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat.

 

“Ini menandakan detik bersejarah dalam usaha menyeragamkan hak dan perlindungan 1.4 juta pekerja di negeri Sarawak dengan pekerja di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265],” katanya.

 

Sehubungan itu, MTUC Bahagian Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.

 

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dan ahli gabungan MTUC Bahagian Sarawak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses ini,” ujarnya.

 

Untuk rekod, antara utama dalam pindaan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 adalah liputan pemakaian Ordinan diperluaskan daripada pekerja bergaji RM2,500 dan ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari serta cuti paterniti yang tidak diperuntukkan sebelum ini dalam OBS kini diberi kepada bapa sebanyak tujuh hari.

 

Selain itu, waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal (flexible working arrangement), peruntukan baharu tentang standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja dan peruntukan tentang aduan diskriminasi di tempat pekerjaan.

 

Zaidi menambah, MTUC Bahagian Sarawak juga merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan kaum pekerja di Malaysia sejak diberi amanat dan antara pindaan utama adalah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2024, Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Pindaan) 2024, Akta Skim Insurans Pekerjaan 2017 (Pindaan) 2024, RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024.

 

“Kami berharap pindaan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada semua pekerja di Sarawak dan memperkukuhkan lagi perlindungan hak-hak mereka," katanya. -EDISI UKAS