Sukan Muaythai Melatih Individu Secara Menyeluruh

Disiarkan pada 10 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


BINTULU: Sukan Muaythai adalah tentang kawalan diri, kesabaran, dan semangat juang tanpa henti, menjadikan ia sukan yang melatih individu secara menyeluruh.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim, dalam ucapannya menekankan pentingnya disiplin dalam sukan Muaythai.

Menurut beliau, kejayaan dalam sukan ini tidak hanya bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata tetapi juga pada ketahanan mental dan dedikasi yang tinggi.

Baru-baru ini, Kejohanan Bintulu Amateur Muaythai Challenge Volume II (BAMC II) melabuhkan tirainya dengan jayanya di Naim Bintulu Paragon Street Mall.

Acara ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Maysville, Medik Premier, Press Metal, dan Bintulu Port, berjaya menarik kehadiran peminat seni bela diri dari dalam dan luar kawasan.
 
Hadir sama semasa majlis perasmian adalah wakil kepada Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng dan Pegawai Khas kepada ADUN Jepak, Shahrezy Sulaiman.

Beberapa kategori yang dipertandingkan menyaksikan aksi sengit dan bakat luar biasa, antaranya bagi Kategori Pro 58kg:Brian Issac (Kelab PS Muay Thai) tewas kepada Mas Nazrel (Kilas Petrajaya), Kategori Semi Pro 43-47kg: Nur Zahra Damia (Kelab PS Muay Thai) tewas kepada Nur Qaisyara Ryanna (Panthera Fight Team), Kategori Pro 54kg: Mohd Haziq “Black Panther” (Kilas Petrajaya) tewas kepada Aqeed “The Thor” (Kelab PS Muay Thai).

Manakala bagi Kategori Wrestling Bout: Azwan Serigala menang ke atas Hendo Ramli “The Bad Boy”, Kategori Pro 58kg: Aiman Taro (Malaysia) menang melalui TKO ke atas Yod Khun Pun (Thailand), Kategori Semi Pro 36kg (Tali Pinggang): Jonnah “The Super Jon” (Sarawak) menang ke atas Muhd Aqie Putra (Selangor) dan Kategori Pro 51kg: Hakim Leh Bundle (Thailand) menang melalui TKO ke atas Aman Koboi (Malaysia).
 
Dalam pada itu, Kelab PS Muaythai Bintulu tampil menyerlah apabila berjaya memenangi 18 dari 32 perlawanan amatur.
 
Mencuri tumpuan kemenangan peserta berusia 15 tahun, Cedric Junior yang mewakili Kelab PS Muaythai dengan menumpaskan Joshua Johny dari Warmonger Training Academy dalam kategori 51-54kg.
 
Satu lagi kejutan apabila Muhammad Aiman Isri juga mewakili Kelab PS Muaythai yang menundukkan Azlan Muksirin (Kelab Muaythai Singa-30) dalam kategori 70-75kg.
 
Antara petinju lain dari kelab itu yang turut menang ialah Abrielle Kimberly (35-36kg), Wong Chee Eng (25-26kg), Elijah Abo Stephen (75-77kg), Emmanuel Ngang Bundan (44-48kg), Jessie Wong (41-44kg), Ahmad Syazwi Danial Manzalan (58-61kg), Shamer Badrishah Shahrol (61-64kg), Mohamad Nurmiza (53-56kg) dan Irfan Zafran Khan (59-62kg).
 
Kelab lain yang turut mengambil bahagian kali ini adalah Bau Muaythai Club, SS Fighters, Bintulu Fight Team, Viix Sports Fitness Club dan Kilas Petra Jaya. - EDISI UKAS