Peserta Hari Belia Sarawak 2024 Teruja dengan Persembahan Amy Search di Malam Soul Concert

Disiarkan pada 08 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Peminat penyanyi rock lagenda tanah air, Amy Search, tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka menyaksikan persembahan luar biasa beliau pada malam Soul Concert yang berlangsung di Kingwood Resort Mukah pada Sabtu.

Soul Consert ini merupakan sebahagian daripada acara sambutan Hari Belia Sarawak 2024.

Amy Search, atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Abdul Rahman, tampil memukau dengan menyampaikan lima lagu popularnya.

Persembahan dimulakan dengan lagu Rozana, diikuti Kerja Gila, Isabella, Tiada Lagi dan diakhiri dengan Pawana.

Gaya persembahannya yang bersahaja tetapi penuh tenaga memberikan kenangan terindah buat para peminat, khususnya dari Mukah dan kawasan sekitarnya.

Acara turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Setiausaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Morshidi Frederick.

Selain Amy Search, persembahan pembukaan dan penutup turut menampilkan kumpulan Masmona dari Semporna, Sabah.

Dengan persembahan yang bertenaga, Masmona berjaya memeriahkan suasana dengan mengajak tetamu kehormat dan penonton untuk menari poco-poco bersama di atas pentas.

Hari Belia Sarawak 2024 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Disember, dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg

Hari Belia Sarawak, satu sambutan untuk meraikan semangat muda dan pemimpin masa depan Sarawak dimana acara tahunan ini dianjur khas untuk mengiktiraf dan memperkasakan belia di bumi Sarawak, memberi platform untuk mereka mempamerkan bakat, menyertai aktiviti yang bermakna, dan menginspirasi perubahan positif dalam komuniti mereka.

Dengan sambutan meriah dan persembahan ikonik daripada Amy Search, acara ini pastinya menjadi kenangan manis bagi peminat dan warga Sarawak. -EDISI UKAS