KUCHING: Litar lumba Gedong yang baru-baru ini diluluskan untuk pembinaan bakal menjadi litar antarabangsa dengan kapasiti 100,000 penonton.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, memaklumkan bahawa lokasi pembinaan telah dikenal pasti di seberang Ishtmus Gedong, seluas 600 ekar.
Beliau menjelaskan bahawa Gedong dipilih kerana ia merupakan kawasan yang sesuai, memandangkan litar lumba tidak dibenarkan dibina di kawasan bandar.
"Trek sebegini tidak boleh dibina di kawasan bandar seperti di Litar Antarabangsa Sepang maka kawasan yang paling dekat dengan bandar adalah di Gedong.
"Hal ini kelak membolehkan Gedong menjadi kawasan antarabangsa bagi sukan permotoran," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Mesyuarat Agong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong di sini pada Ahad.
Beliau akan memastikan infrastruktur jalan raya terus dibangunkan bagi memastikan peminat-peminat lumba termasuk di luar Sarawak dapat mengakses kawasan di Gedong.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu juga menyatakan, Kerajaan kini telah memulakan semakan semula elaun kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan akan diumumkan kelak setelah kiraan bagi semakan semula selesai sepenuhnya.
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga dilantik semula sebagai Ketua Cawangan PBB Gedong setelah menang tanpa bertanding.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Naroden Majais. -EDISI UKAS